𝐀𝐍𝐂𝐀𝐌𝐀𝐍 𝐃𝐄𝐄𝐏𝐅𝐀𝐊𝐄𝐒 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐏𝐄𝐍𝐈𝐏𝐔𝐀𝐍

𝐀𝐍𝐂𝐀𝐌𝐀𝐍 𝐃𝐄𝐄𝐏𝐅𝐀𝐊𝐄𝐒 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐏𝐄𝐍𝐈𝐏𝐔𝐀𝐍

Kuala Lumpur, 28/08/2024 : Teknologi deepfakes, yang memanfaatkan kecerdasan buatan untuk mencipta video atau audio yang meniru suara dan wajah seseorang dengan sangat realistik, telah membawa kepada kemajuan yang mengagumkan dalam bidang media digital. Namun dalam masa sama turut menimbulkan kebimbangan serius tentang keselamatan dan ketulenan maklumat. Dengan kemampuannya untuk menghasilkan kandungan yang sukar dibezakan daripada yang asli, deepfakes berpotensi digunakan untuk penipuan, penyamaran dan penyebaran berita palsu, sekaligus menuntut usaha yang lebih besar dalam pengawasan dan pengesanan untuk melindungi integriti maklumat dan privasi individu.

Menurut YDH CP Dato’ Sri Ramli bin Mohamed Yoosuf, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, teknologi deepfakes dikesan telah digunakan untuk tujuan penipuan. Melalui sidang media yang diadakan di pejabatnya hari ini, beliau memaklumkan tiga laporan polis masing-masing satu di Kuala Lumpur, Terengganu dan Pulau Pinang telah diterima pada 23 Ogos 2024 berkenaan penipuan penyamaran yang dipercayai menggunakan teknologi deepfakes. Bagi kes yang dilaporkan di Terengganu, mangsa yang berumur 63 tahun menerima panggilan dari nombor tidak dikenali yang kemudian memperkenalkan diri sebagai rakan mangsa. Ekoran suara pemanggil yang mirip suara rakannya, mangsa telah bersetuju untuk meminjamkan wang berjumlah RM49,800.00. Bagaimanapun, apabila mangsa menghubungi semula rakannya melalui nombor telefon yang biasa digunakan, rakannya menafikan berkenaan pinjaman tersebut.

Manakala bagi kes di Kuala Lumpur, mangsa, seorang wanita berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pereka dalaman telah ditipu sebanyak RM3,000.00 setelah dihubungi oleh ‘rakannya’ bagi tujuan meminjam wang. Dalam satu lagi kes yang dilaporkan di Pulau Pinang, mangsa, seorang wanita berusia 50 tahun yang merupakan seorang surirumah telah ditipu sebanyak RM4,800.00 oleh ‘kenalannya’ yang mendakwa telah kehilangan beg duit dan telefon. Kesemua tiga kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan perkembangan ini, dijangka taktik yang sama akan terus digunakan sindiket penipuan bagi menipu mangsa. Justeru, adalah dinasihatkan agar masyarakat mengambil langkah pencegahan berikut bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan:

i. “Believe not of what you see and believe not of what you hear”
ii. Lakukan semakan dengan menghubungi kenalan anda menggunakan nombor telefon yang disimpan dalam telefon anda. Sahkan sama ada mereka benar-benar menghubungi anda menggunakan nombor telefon lain.
iii. Jangan buat pindahan ke dalam akaun bank yang meragukan terutama apabila ia didaftarkan atas nama individu lain.

Menerusi sidang media yang sama, YDH CP Dato’ Ramli bin Mohamed Yoosuf turut berkongsi kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dalam menumpaskan satu sindiket pembuatan wang palsu. Melalui dua serbuan yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024, JSJK telah berjaya menangkap tiga lelaki warga Cameroon berusia lingkungan umur 36 hingga 49 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket pembuatan wang palsu.

Turut dirampas 4,770 keping wang kertas note RM100 dipercayai palsu, 152 keping wang kertas note USD100 dipercayai palsu, 9 bungkusan blok note RM100 dipercayai palsu, 7 telefon, 1 kunci rumah bersama kad akses, 2 beg galas, 1 beg bimbit, 3 gulung plastic pembalut, 1 botol gam, 1 bilah pisau pemotong kertas, 1 pembaris, 1 pita pelekat, 4 passport, sebuah kereta jenama Toyota Vios.

Siasatan setakat ini mendapati seorang daripada tiga yang ditahan telah masuk ke Malaysia pada 28 Julai 2024 menggunakan pas pelawat namun dua lagi individu didapati tidak mempunyai rekod perjalanan yang sah. Siasatan turut mendedahkan sindiket ini memulakan kegiatan penghasilan wang palsu sejak bulan Julai yang lalu dengan tujuan untuk dijual kepada pembeli yang berminat. Siasatan lanjut sedang diteruskan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan.