KKM DAN AMO PERKUKUH KEFAHAMAN PERKHIDMATAN OPTOMETRI KOMUNITI
Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Optometris Malaysia (AMO) di Pejabat KKM Parlimen. Delegasi AMO diketuai oleh Presiden AMO, Ahmad Fadhullah, bersama-sama dengan barisan kepimpinan tertinggi persatuan tersebut.
Dalam pertemuan itu, AMO membentangkan cabaran-cabaran dalam perkhidmatan penjagaan mata di Malaysia, termasuk kesesakan dan masa menunggu yang panjang di jabatan mata hospital-hospital kerajaan. AMO menekankan keperluan untuk memberdayakan Optometris Komuniti sebagai penyedia penjagaan mata utama bagi meningkatkan akses, mengurangkan masa menunggu, dan meningkatkan pengesanan awal penyakit mata.
YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan kesefahaman tentang peranan Optometris Komuniti dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan di Malaysia. Dengan membezakan Optometris Komuniti daripada kedai optik, pelbagai manfaat dapat dicapai, termasuk pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), pengurangan kesesakan pesakit, kemudahan akses kepada penjagaan mata utama, dan pemeliharaan keaslian perkataan “Optometri” tanpa kekeliruan di kalangan rakyat.
Persefahaman antara KKM dan AMO ini selaras dengan visi kerajaan Malaysia Madani yang mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan Perpaduan komited untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan mata yang lebih cekap, mudah diakses, dan berkualiti tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia.
#MalaysiaMadani
#KesihatanMata
#OptometrisMalaysia
#KKMxAMO
#AksesPenjagaanMata